Wednesday, November 11, 2009

PENUTUP/HARAPAN

Penanaman pokok herba wajar dijadikan lanskap utama dan perlu ada pada setiap ruang dan sudut persekitaran sekolah supaya kesedaran terhadap kepentingannya terus subur dan terpelihara.Beberapa langkah yang proaktif boleh dilaksanakan untuk memastikan generasi masa kini dan akan datang tidak lupa tentangnya.Antaranya guru-guru atau warga SMKBBS boleh menjadikan Taman Herba ini sebagai tempat kajian sains atau untuk mengembangkan potensi perubatan tradisional.Pelajar sekolah ini juga perlu didedahkan dengan tanaman herba ini dalam aktiviti P n P atau aktiviti kelab dan persatuan.

Keindahan landskap di sekolah pula akan lebih menarik jika tumbuhan hiasan turut diselang-selikan dengan tumbuhan aromatik dan herba sebagai salah satu identiti yang mempunyai nilai eksotik untuk menunjukkan kekayaan sumber alam semulajadi atau flora di negara ini. Faktor persekitaran yang perlu diambil kira termasuklah faktor perlindungan, tahap pencemaran, pengairan, perkembangan akar dan daun untuk menjadikan faktor persekitaran hampir sama dengan habitat asal.

Salah satu idea dan usaha yang baik adalah mewujudkan kombinasi tumbuhan herba dan tumbuhan ornamental serta ditambah dengan elemen seperti kolam kecil, air pancutan dan pondok pergola. Konsep ini telah berjaya diketengahkan di Bali, Indonesia dan popular juga di kalangan orang Barat dan Asia.

Kekangan masa dan tenaga juga wujud dalam memastikan Taman Herba ini sentiasa segar,menghijau dan terpelihara. Pihak sekolah juga wajar memberi sokongan moral dan kewangan untuk memastikan tanaman herba hidup subur mekar sebagai lanskap utama sekolah. Adalah diharapkan Taman Herba sekolah ini akan terus dipertingkatkan dari segi keceriaan dan penambahan koleksi bahan herba. Semua pihak juga diharap dapat memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk sekali pun untuk mengindahkan dan memanfaatkan Taman Herba ini.Sokongan berbentuk kewangan dan penajaan tumbuhan amatlah diperlukan terutamanya daripada syarikat CSR(Corporate Social Responsibility)

Sebagai kesimpulan, tumbuhan herba sangat kaya dengan khasiat, serta kebolehannya untuk mengubati berbagai jenis penyakit. Ianya telah digunakan sejak dari dahulu lagi sehinggalah hari ini. Kaedah rawatan menggunakan herba adalah satu sains atau latihan dalam perubatan dan penjagaan kesihatan yang telah diwarisi sejak zaman berzaman. Ianya telah diturunkan secara lisan, bertulis atau melalui amalan.Oleh itu tanaman herba mempunyai potensi dan peluang yang amat cerah untuk di komersialkan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.Kerajaan dan agensi swasta perlu memainkan peranan dalam usaha memastikan industri herba di Malaysia semakin maju,berdaya saing dan mampu mengurangkan pergantungan import.


No comments:

Post a Comment